Wednesday, October 12, 2011

Shahidan Kassim: Sungai Perlis Perlu Diperdalam Untuk Elak Banjir

Bernama melaporkan: KANGAR, 11 Okt - Sungai Perlis yang menganjur dari Kangar ke Kuala Perlis perlu diperdalam dan diperluaskan sebagai langkah mengawal bencana banjir.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sungai sepanjang 11 kilometer itu kini semakin sempit dan cetek serta tidak mampu menampung limpahan air ketika hujan lebat, menyebabkan berlaku banjir.

Walaupun lebar Sungai Perlis ialah 70 meter, namun semasa surut laluan air hanya bersaiz 30 meter sahaja, katanya kepada pemberita semasa meninjau sungai itu, di sini Selasa.

Katanya masalah itu diburukkan lagi dengan pokok yang tumbuh di dalam sungai, sekali gus menghalang laluan air.

Beliau turut mencadangkan agar tebing kedua belah sungai ditinggikan bagi mengelak limpahan air sungai ketika berlaku banjir.

Shahidan berkata beliau juga akan mencadangkan kepada NCER agar melihat kepada keperluan infrastruktur di kawasan Sungai Perlis sebagai langkah tebatan banjir.

Beliau juga berpandangan cadangan meninggikan tebing Empangan Timah Tasoh untuk mengawal banjir di Perlis bukan keperluan mendesak, memandangkan yang paling penting ialah memastikan sistem saliran lebih sempurna.

Shahidan sebelum itu mendengar taklimat mengenai Sungai Perlis yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Mat Supri Kasa.

Mat Supri berkata buat masa ini pihaknya mengambil langkah jangka pendek dengan membersihkan Sungai Perlis dan sungai kecil lain yang mengalir ke sungai utama itu bagi memastikan kelancaran aliran air.

0 comments: