Wednesday, October 12, 2011

Banjir semakin teruk sejak dibina empangan

Petikan Free Malaysia Today


KANGAR: Rakyat Perlis bimbang masalah banjir semakin teruk sejak terbinanya Empangan Timah Tasoh (ETT) yang disifatkan sebagai bom jangka (time bomb) yang berbahaya dan boleh menyebabkan sebahagian dari negeri itu tenggelam sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada ETT.

Keadaan ini boleh berlaku apabila ETT pecah akibat lebihan takungan, kemungkinan retak akibat gegaran gempa bumi walaupun Malaysia di luar kawasan gempa, sabotaj musuh atau pengganas dan sebagainya akibat tiadanya saliran terus ke laut.

“Oleh itu untuk menangani masalah ini, sebuah Jawatankuasa Bertindak (Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir) ditubuhkan dan mengadakan mesyuarat pertama pada 1 Oktober lalu,” kata Pengerusinya Mohammad Faisol Abd Rahman.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, banjir di Perlis semakin kerap berlaku dari 10 tahun sekali, kepada lima tahun sekali dan kini setiap tahun dan menyebabkan kerosakan harta benda, tanaman, ternakan hingga kerugian yang dialami rakyat Perlis mencecah nilai jutaan ringgit.

Menurutnya, keadaan banjir berlaku kerana ketiadaan sistem saliran keluar lebihan stok air yang sempurna dan hanya menggunakan sungai semula jadi yang sedia ada, pengurusan penyelenggaraan sungai yang kurang memuaskan, longkang, perparitan yang tidak selari dengan pembangungan.

“Oleh itu kami merasakan sudah sampai masanya untuk mendesak Kerajaan Negeri khususnya supaya lebih prihatin dan peka serta meletakkan masalah ini sebagai suatu keutamaan demi menjaga keharmonian dan kemajuan negeri yang sedang berusaha untuk mencapai Perlis Maju 2015,” terang beliau.

Di samping itu, beliau bimbang syarikat-syarikat insurans berkemungkinan akan mengenakan caj premium yang tinggi kepada asset rumah dan kelengkapan rakyat Perlis.
“Ia juga oleh menyebabkan ketidakyakinan para pelabur untuk datang melabur di negeri ini serta keresahan para peniaga tempatan yang sering terdedah kepada banjir.

Mohammad Faisol berkata, Jawatankuasa Bertindak telah memutuskan akan mengadakan pertemuan secara rasmi dan tidak rasmi dari masa ke semasa untuk meneliti perkembangan isu banjir ini.

Pihaknya akan membawa mesej keresahan dan penderitaan banjir rakyat kepada seluruh agensi terbabit seperti Kerajaan Negeri dan Pusat serta Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Majlis Perbandaran Kangar.

Jawatankuasa Bertindak juga katanya, akan mengadakan pertemuan dengan pakar alam sekitar, perancangan perbandaran, NGO-NGO berkaitan bagi mengolah idea terbaik untuk diajukan kepada pihak berwajib supaya isu permasalahan banjir di Perlis akan dapat diatasi segera.

0 comments: