Thursday, July 30, 2009

Sepetang bersama Pengerusi ANAK di Felda Chuping

CHUPING - Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) melahirkan kebimbangan dengan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan Felda sebagai sebuah syarikat multi nasional.

Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, hasrat ini menurutnya dibimbangi akan mengurangkan pegangan para peneroka yang selama ini menjadi nadi utama kemajuan Felda itu sendiri.

"Para peneroka kini dihimpit pelbagai masalah terutamanya hutang kepada Felda dan hasil yang sepatutnya mereka diterima kini semakin berkurangan dengan pelbagai potongan yang dibuat.

"Kita bimbang apabila peneroka mempunyai hutang yang banyak contohnya dari skim pinjaman perumahan, apabila harga komoditi yang tidak stabil di pasaran dan hasil peneroka tidak boleh lagi dibuat potongan, Felda akan menggunakan pendekatan yang halus untuk membuat pengambil-alihan tanah peneroka," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat



Timbalan YDP Kawasan, Wan Kharizal turut berucap

Selain itu menurutnya, generasi kedua peneroka perlulah mengetahui dan memperjuangkan hak mereka.

Katanya, generasi kedua di Felda kini tidak mempunyai peluang untuk memajukan diri mereka sehinggakan terpaksa mencari peluang-peluang pekerjaan di luar.

"Dengan kurangnya penglibatan generasi kedua ini, maka buruh-buruh asing dibawa masuk. Orang-orang di Felda kini hanya menjadi penonton sedangkan Felda telah membangun menjadi salah satu badan yang terkaya.

"Aset Felda kini difahamkan melebihi RM50 bilion. Itu semua milik para peneroka dan banyak lagi fakta tidak diketahui ramai kerana tidak pernah didedahkan oleh pihak Felda.

"Justeru, generasi kedualah yang perlu mengatahui hak mereka dan memperjuangkannya.," jelas beliau lagi.

Mazlan berkata demikian dalam majlis dialog bersama peneroka Felda Unit Tebu di Felda Chuping dekat sini.

Majlis tersebut turut dihadiri para pimpinan PAS Kawasan Padang Besar, Majlis Tindakan Dun Chuping serta pimpinan masyarakat setempat

Monday, July 27, 2009

Bekas AJK DUN Beseri kini terlantar sakit

Selain menziarahi, Haji Idrus Omar (Baca di sini), rombongan Dewan Pemuda PAS turut menziarahi Majid Teh, 64 di Kampong Semadong.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja DUN Beseri kini suda tujuh bulan terlantar sakit di rumahnya akibat penyakit yang dideritainya.

Saturday, July 25, 2009

Ziarah bekas Ketua Pemuda PAS Perlis


BESERI - Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS (DPP)Perlis yang diketuai oleh Naib Ketua DPP Padang Besar, Shuhairi Samsuddin baru-baru ini mengadakan program ziarah bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Haji Idrus Omar, 71, di Kampung Semadong dekat sini.

Haji Idrus pernah memegang jawatan tersebut dari tahun 1968 hingga tahun 1971.

Ketua DPP Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman bersama Ahli Jawatankuasa Kerja DPP Perlis, Kawasan Padang Besar serta wakil Pemuda Dun Beseri turut serta dalam program tersebut.

Turut serta bersama rombongan tersebut, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan PAdang Besar, Abd Halim Ali serta bekas Pengarah Dun Beseri, Saidin Hussin.

Haji Idrus ternyata teruja dengan kunjungan ini dan turut menceriatakan pengalaman beliau semasa mengetuai DPP Perlis dulu.

Ceramah Isu Semasa...Jom Pakat Pi

Shahidan kritik Md Isa

Petikan Utusan Malaysia
KANGAR 23 Julai - Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang) hari ini secara terbuka mengkritik kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang didakwa dibayangi pihak tertentu dalam mentadbir kerajaan negeri.

Bekas Menteri Besar itu membuat kritikan tersebut ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada sidang Dewan Undangan Negeri Perlis di sini.

Dalam perbahasan kira-kira satu jam 45 minit itu, Shahidan dengan lantang mempersoalkan keputusan yang dibuat Md. Isa sepanjang menerajui kerajaan negeri sama ada atas kapasitinya sebagai Menteri Besar atau dipengaruhi 'orang lain.'

Beliau tidak menamakan pihak yang berkenaan bagaimanapun dipercayai ia ditujukan kepada Penasihat Menteri Besar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kangar.

''Saya terpaksa menyatakan pendirian dan menegur perkara ini kerana rakyat kini sedang bercakap berkaitan hal ini. Saya bukan berniat menjatuhkan Menteri Besar yang juga sahabat saya.

''Bukan juga niat saya untuk mengambil alih kepimpinan Menteri Besar, tetapi hanya untuk memastikan kepimpinan baru ini lebih kukuh terutama membabitkan hal-hal menentukan keputusan tanpa dibayangi pihak lain," katanya.

Sesi perbahasan itu berlangsung tanpa diganggu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain seperti perbahasan bekas Menteri Besar tersebut sebelum ini.

Shahidan berkata, jika Md. Isa tidak mampu membuat sebarang keputusan, adalah lebih baik jawatan itu diberikan kepada mereka yang lebih berkaliber seperti ADUN Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, ADUN Santan, Sabry Ahmad atau ADUN lain yang dilihat berkebolehan.

''Saya tidak mempunyai masalah jika mereka yang lain dilantik sebagai Menteri Besar tetapi biar apa sahaja keputusan yang dibuat bukan dibayangi pihak tertentu.

''Teguran ini juga adalah tanda keprihatinan demi memastikan kepimpinan tertinggi negeri ini mampu menjalankan tugas yang dipikul," jelasnya.

Selain itu, Shahidan turut menyentuh tentang Sunnah Waljamaah yang kini dikatakan kurang dipraktikkan oleh kerajaan negeri.

Beliau juga bersetuju dengan titah Raja Perlis yang meminta rakyat dan kakitangan kerajaan mengamalkan gaya hidup sihat di samping berusaha meningkatkan kualiti kerja penjawat awam.

Laporan lain yang berkaitan: baca di sini

Thursday, July 23, 2009

Kuliah Dr Haron Din

Wednesday, July 22, 2009

YDP ketuai Lajnah Pekerja, Petani & Nelayan PAS Perlis

Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Besar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perlis, Haji Mohd Anuar Tahir telah diamanahkan mengetuai Lajnah Pekerja. Petani dan Nelayan PAS Perlis.


Mantan Yang Dipertua, Haji Abdul Karim Md Rejab pula kekal sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya dan Pengarah Jabatan Khidmat Masyarakat PAS Perlis.

Begitu juga, bekas Ketua Pemuda PAS dan Ketua Penerangan PAS Kawasan, Kamis Yub kekal memegang Pengarah Keselamatan PAS Perlis.
Perlatikan jawatan-jawatan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perlis di Kangar petang semalam.

Pengarah MTD bagi Kawasan Padang Besar

Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis semalam telah meluluskan perlantikan Pengarah-pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) untuk sesi 2009-2011.


Bagi, kawasan Padang Besar, tiga muka baru dilantik mengisi jawatan tersebut.

Berikut ialah senarai Pengarah MTD bagi kawasan Padang Besar:

  • N.01 Titi Tinggi : Mohd Razi Mustaffa
  • N.02 Beseri : Rosudin Kassim
  • N.03 Chuping : Haji Shamsuddin Ibrahim
  • N.04 Mata Ayer : Haji Hassan Lebai Othman
  • N.05 Santan : Ustaz Yahya Ahmad


Tuesday, July 21, 2009

Ceramah........ Jom Pakat Pi Ramai2


Thursday, July 16, 2009

PAS seru ahli sertai himpunan mansuhkan ISA, 1 Ogos depan

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menyerahkan memorandum ke Istana Negara, 1 Ogos depan.


Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata PAS sudah mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.

"Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini.

"Semua ketua-ketua penerangan negeri dan PAS kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini," kata Idris dalam satu kenyataannya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir bagi memastikan kerajaan memansuhkan akta kontroversi tersebut "yang sering dijadikan alat politik segelintir pihak berkepentingan untuk menakutkan rakyat.

Pada 22 Jun lalu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara rasmi mengumumkan perhimpunan itu dengan mensasarkan jumlah 'sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)' dua tahun lalu.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.

Jumaat lepas, mesyuarat jawatankuasa induk Himpunan MANSUH yang dianggotai pemimpin parti politik, NGO, mahasiswa sepakat menetapkan perhimpunan tersebut jam 2 petang di tiga lokasi utama di Kuala Lumpur namun tempat-tempat itu belum diputuskan lagi.

Menurut kenyataan GMI, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar satu 'deklarasi rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga menggalakkan orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan tersebut agar memakai pakaian warna tema merah hitam.

Himpunan MANSUH diadakan sebagai kesinambungan kempen GMI untuk membela nasib tahanan dan keluarga, dan juga menutup Kem Kamunting, Taiping.

Monday, July 13, 2009

Sejarah PAS Kawasan Padang Besar - Bhg 1

PAS Kawasan Padang Besar ditubuhkan selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi Pilihanraya Umum Kali Ke-9 tahun 1995. Disahkan pendaftarannya pada 1 November 1994 dengan no. pendaftaran P.26/52-4508/(2).


Jawatankuasa penaja PAS Kawasan Padang Besar diterajui oleh Yang Dipertuanya yang Pertama, Al-marhum Tuan Guru Haji Mohd Jusoh L. Abd Rahman.

Beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 1995.

Selepas persempadan semula, PAS Kawasan Padang Besar mengambil alih pejabat pentadbiran PAS Kawasan Kangar di Batu 2 Jalan Santan untuk dijadikan Markas Tarbiyyah.

PAS Kawasan Kangar menggunakan markas ini sejak tahun 1992.

Markas ini lebih dikenali dengan nama "Santan Kota" oleh penduduk setempat.

Selepas Mesyuarat Agung yang pertama, jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan disandang pula oleh Almarhum Ustaz Haji Ahmad Salleh (kembali ke Rahmatullah pada tahun 2007).

Beliau memegang jawatan tersebut selama dua penggal (1995-1997).

Kemudiannya jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan diambil alih oleh Tuan Haji Addul Karim Md Rejab selama 6 penggal (1997-2009).

Pada Mesyuarat Agung PAS kawasan kali ke-15 pada 18 April 2009, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tuan Haji Mohd Anuar Tahir pula dipilih selaku Yang Dipertua.

Sementara itu, Ustaz Yahya Ahmad telah memegang jawatan Setiausaha PAS Kawasan sejak penubuhannya sehingga tahun 2009.

Kini jawatan setiausaha diamanahkan kepada Saudara Hisharuddin Hj Hassan yang pernah memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan yang pertama serta Setiausaha Badan Pehubungan PAS Perlis.

Bersambung>>

Monday, July 6, 2009

PENGUMUMAN DAN PEMBETULAN

NO AKAUN BANK ISLAM YANG TERPAPAR PADA BANNER RAYUAN SUMBANGAN DI ATAS ADALAH TERSILAP.

NO AKAUN BANK ISLAM ADALAH SEPERTI DI FOTO DI BAWAH:


PIHAK PAS KAWASAN PADANGB BESAR MEMOHON MAAF KEPADA KESILAPAN YANG BERLAKU. HARAP MAKLUM.

Saturday, July 4, 2009

Pesuruhjaya sempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks PAS Kawasan

BESERI -Majlis Pecah Tanah tapak Kompleks Tarbiyah Islamiyah PAS Kawasan Padang Besar di Jalan Bukit Kerang di sini telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, YB Ustaz Haji Hashim Jasin pagi tadi.

Sebelum berlangsungnya majlis tersebut, Ustaz Hashim serta pada hadirin mendengar taklimat dari Pengerusi Lajnah Pembangunan PAS Kawasan Padang Besar, Haji Bahran Ismail berkaitan projek yang akan dijalankan.

Taklimat diadakan di dalam Markas PAS Cawangan Taman Melati Indah bersebelahan tapak kompleks.

Dalam taklimatnya, beliau menjelaskan fasa pertama pembinaan kompleks melibatkan kerja "Footing and Beam" yang akan menelan kos kira-kira RM52,000.00 dan dijangka bermula pertengahan bulan Julai.

Haji Bahran memberikan taklimat


Ustaz Hashim dalam ucapan ringkas beliau melahirkan rasa bangga dengan usaha PAS Kawasan Padang Besar yang akan mendirikan kompleks tersebut. Katanya, ini adalah sebahagian daripada hasil kejayaan tarbiyah PAS sejak penubuhannya berpuluh tahun yang lalu.
"Ini membuktikan ahli-ahli PAS yakin dengan masa depan untuk Islam," ujarnya.

Pengerusi Tarbiyah Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mohd Azmir
memimpin bacaan doa

Majlis Pecah Tanah



Hadir sama dalam majlis pecah tanah ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab yang merupakan mantan YDP PAS Kawasan Padang Besar. Turut serta Timbalan YDP PAS Kawasan, Wan Kharizal Wan Khazim, Naib YDP, Abdul Halim Ali serta AJK PAS Kawasan yang lain.

Majlis Silaturrahim DUN Mata Ayer

Majlis Silaturrahim PAS Kawasan PAdang Besar bersama MTD Mata Ayer diadakan pada hari Rabu, 1 Julai lalu di Markas PAS Cawangan Pokok Sena-Mata Ayer.

Program ini diadakan bagi meperkenalkan saf kepimpinan baru PAS Kawasan di samping bertukar-tukar pandangan bersama dengan AJK Dun Mata Ayer serta cawangan-cawangan.

Ini adalah siri kedua selepas perjumpaan yang sama diadakan di Dun Santan baru-baru ini.

Setiausaha PAS Kawasan, Hisharuddin mempengerusikan majlis

Pengarah MTD Mata Ayer, Hj Hassan L. Othman
dengan kisah "kelungkup nyog" dan kereta Morris Minor


Ucapan YDP

Majlis dihadiri pimpinan PAS Kawasan termasuk YDP Haji Mohd Anuar Tahir, Timbalan YDP, Wan Kharizal Wan Khazim serta Naib YDP, Abdul Halim Ali.
Majlis bermula dengan tayangan multimedia diikuti ucapan Pengarah MTD Mata Ayer, Haji Hassan Lebai Othman. Seterusnya, YDP PAS Kawasan menyampaikan amanat beliau.
Dalam ucapannya, Haji Mohd Anuar menggesa setiap ahli memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Kabinet PAS Kawasan kali ini juga merupakan kabinet pilihanraya. Jadi kita kena perkuatkan jentera kita untuk mengahdapi PRU akan datang.
"Sekarang ni dalam era kita dok menang. Moral dan semangat Umno/Bn dah tak dak dah sekarang ni. Walaupun depa dah tukar drebar baru, tapi ibarat tukar lori baru, tayar bocor sana-sini akibat rasuah dan penyelewengan yang mereka buat," katanya.

Thursday, July 2, 2009

Kompleks Tarbiyyah Islamiyah PAS Kawasan Padang Besar

Kompleks Tarbiyah Islamiyah PAS Kawasan Padang Besar bakal didirikan dengan anggaran kos RM450,000.00
Gambaran Artis:- Kompleks Tarbiyah Islamiyah
PAS Kawasan Padang Besar yang bakal dibina

Plan Lantai

Pandangan depan, belakang dan sisi

Di sinilah bangunan bakal didirikan

Tanah seluas 3 1/2 relung

Berlatarbelakang Bukit Keteri dan Kilang CIMA

Kawasan ini pernah dijadikan tapak ceramah
dan sukan Ijtimak


Latar Belakang Pembinaan Kompleks Tarbiyah Islamiyah PAS Kawasan Padang Besar

PAS Kawasan Padang Besar dalam Mesyuarat Agungnya kali Ke-11 pada 8 Rabiul Awal 1426 bersamaan 17 April 2005 telah meluluskan usul berbunyi:

"Memandangkan keadaan dan suasana politik yang semakin mencabar dan sentiasa berubah, maka Mesyuarat Agung pada pagi ini mencadangkan supaya PAS Kawasan Padang Besar mencari sebidang tanah untuk dijadikan Kompleks Tarbiyah yang baru bagi menggantikan yang sedia ada kerana tidak sesusai lagi untuk kegunaan pada masa akan datang".

Justeru sebuah bangunan dua tingkat akan didirikan di atas tapak seluas 3 1/2 relung yang telah dibeli dengan kos hampir RM70,000.00 di Jalan Bukit Kerang off Jalan Bukit Keteri, Beseri, Perlis.

Cadangan pembinaan kompleks ini juga pernah dikemukakan oleh perwakilan PAS Cawangan Lubuk Sireh, Allahyarham Tuan Haji Wan Ahmad Wan Adam dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Padang Besar pada tahun terdahulu.

Seperti yang dinyatakan di atas, pimpinan PAS Kawasan Padang Besar yang diterajui Yang Dipertuanya pada masa itu, Tuan Haji Abdul Karim Md Rejab telah berusaha untuk membeli tanah berkenaan melalui dengan meminjam wang dari Jawatankuasa PAS Kawasan dan juga ahli-ahli dan penyokong PAS.

Kemudiannya skim jualan wakaf diperkenalkan sehingga kini dapat membayar balik semua pinjaman tersebut dan Alhamdulillah sebahagian dari peminjam telah mewakafkan balik wang yang dipinjamkan tersebut.

Tapak kompleks ini sering digunakan untuk mengadakan majlis ceramah dan juga Ijtimak PAS Kawasan pada tahun 2007 dan 2008.

Projek pembinaan fasa pertama dijangka akan dimulakan tidak lama lagi selepas majlis pecah tanah yang akan diadakan Sabtu ini.

Anggaran kos pembinaan kompleks ini adalah sekitar RM450,000.00.

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS PAS KAWASAN

SEMUA DIJEMPUT HADIR