Saturday, May 8, 2010

Perutusan 1 MEI 2010 dari Lajnah Pekerja PAS

Sekali lagi kita menyambut kedatangan 1 Mei, Hari Buruh Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia oleh setiap lapisan pekerja – karyawan. Kepada para pekerja yang telah memerah otak, membanting tulang dan menggunakan tenaga di pelbagai bidang dan sektor, atas nama Lajnah Pekerja PAS Pusat, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara-saudari yang menjadi tulang belakang dan jantung pergerakan pembangunan negara.

Tanpa kesungguhan dan pengorbanan para pekerja, negara ini tidak akan sampai ke mana-mana.

Namun, walaupun demikian besar jasa para pekerja, mereka belum lagi menerima pengiktirafan yang sewajarnya di Malaysia. Pemberdayaan dan pemerkasaan kaum pekerja – karyawan negara punya banyak tandatanya.

Nasib para pekerja di negara ini masih lagi di takuk lama tanpa pembelaan yang seutuhnya. Ramai yang sekadar bermanis mulut menanam tebu di bibir ketika membicarakan tentang nasib pekerja. Walhal nasib golongan majoriti rakyat ini ditinjau dari segi pendapatan, kemudahan dan keistimewaan tidak banyak berubah. Sampai saat ini pemerintah masih belum bersedia menggubal undang-undang gaji minima yang telah diperjuangkan oleh kongres kesatuan-kesatuan sekerja dan pelbagai golongan progresif di negara ini.

Pembuangan pekerja tanpa pampasan yang secukupnya masih berlaku di mana-mana. Para pekerja kilang elektronik dan industri masih dinafikan hak berkesatuan. Semua pihak pula sama ada kerajaan dan swasta berminat kepada pengambilan pekerja secara kontrak yang nantinya mudah untuk diberhentikan. Sejak sekian lama para pekerja lelaki dan wanita meninggalkan kampung halaman berhijrah ke kota-kota besar untuk mencari nafkah dan mengharapkan kehidupan baru yang lebih baik. Mereka dipujuk beramai-ramai berkhidmat dengan pelbagai syarikat-syarikat besar antarabangsa.

Malangnya, ramai pula daripada mereka sejak dahulu sampai sekarang diberhentikan atau dibuang kerja dengan mudahnya apabila perusahaan-perusahaan itu tidak lagi dapat mengaut keuntungan besar. Demikianlah nasib kaum pekerja yang selalunya diperlakukan seperti pepatah orang dahulu ‘habis manis sepah dibuang’ atau seperti mana pantun klasik melayu:

Zaman dahulu bertikar pucuk,
Zaman ini bertikar mengkuang,
Zaman dahulu kita dipujuk,
Zaman ini kita dibuang.

Nasib pekerja memang selalunya malang dan di zaman kemerosotan ekonomi dunia ini hidup mereka lebih parah lagi. Kenaikan harga barang, kenaikan kos perkhidmatan, kos pengangkutan, kos kesihatan, kos pendidikan menyebabkan majoriti dari para pekerja terus dilingkari oleh belitan kemiskinan. Para majikan dan para jutawan tidak banyak yang terjejas, barisan orang-orang kaya di Malaysia tidak pernah bimbang kerana kekayaan yang ada pada mereka senitasa terjamin oleh kerana sistem dan pemerintahan yang ada mahupun dasar dan keutamaan negara sentiasa memihak kepada mereka.

Robert Kuok yang memiliki 10 ribu juta dollar, Ananda Krishnan yang bernilai 7 200 juta dollar, Lee Shin Cheng yang memiliki 5,500 juta dollar, Syed Mokhtar Al-Bukhary yang memiliki 1,800 juta dollar, Azman Hashim yang menguasai aset bernilai 700 juta dollar, atau pun Mokhzani Mahathir yang memilik harta bernilai 285 juta dollar mahupun Nazir Tun Razak yang menguasai 100 juta dollar tentu tidak tertekan seperti Saravanan seorang buruh kasar yang sudah menyimpan wang di bank sebanyak RM 20 000 tiba-tiba hampir putus urat jantungnya apabila secara tiba-tiba anaknya jatuh sakit kronik yang memerlukan pembedahan segera yang mahal harganya.

Saravanan mengumpulkan wang sebanyak itu untuk membeli sebuah rumah kerana telah terlalu lama dia sekadar menyewa kediaman. Semua wang itu tidak mustahil terpaksa dihabiskan untuk pembedahan dan perubatan anak tersayang. Dia dan keluarganya akan terus bernasib malang tanpa harta, tanpa rumah sendiri tempat berteduh. (Azizi Hj. Abdullah, Persatuan Pengguna Pulau Pinang).

Kaum pekerja tanpa mengira keturunan dan kepercayaan, bangkitlah dengan berani dan binalah rangkaian kesatuan, organisasi dan jamaah pro pekerja demi memperjuangkan nasib semua. Jangan menunggu sehingga anda di buang kerja barulah ingin mencari tempat mengadu sedangkan selama ini anda langsung tidak mahu menyertai rangkaian progresif pembela pekerja.

Selamat Hari Pekerja.

Dirgahayu perjuangan membela nasib pekerja.

Wassalam.

Mohd Anuar Tahir
Pengerusi Lajnah Pekerja merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Wednesday, May 5, 2010

Apa salahnya RM4 juta untuk lawan Umno/BN?

PAYA - Apa salahnya membelanjakan sehingga RM4 juta untuk menjatuhkan imej kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN), demikian kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian mengulas isu pendedahan penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella yang mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun bertujuan mewujudkan persepsi buruk bagi melemahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS terus kekal memerintah di Kelantan.

"Saya nak katakan di sini, sekiranya benarlah dakwaan beliau tentang wang RM4 juta itu, apa salahnya kita belanja sebanyak itu kalau nak lawan Umno/BN. Memang kerja kita (PAS) nak jatuhkan mereka.

"Ahli-ahli PAS ni bukan setakat RM4 juta, tapi mati pun sanggup kalau nak lawan Umno/BN. Bukan setakat itu, kita nak kutip lebih daripada itu untuk lawan mereka,"katanya ketika berceramah di Markas PAS Kampung Paya di DUN Santan dekat sini 3 Mei lalu.

Kata beliau lagi, pendedahan isu ini menunujukkan Umno/BN sudah bankrap dengan isu untuk melemahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Mereka kena ingat balik, apakah mereka tidak menggunakan wang untuk menjatuhkan kerajaan Perak? Di pilihanraya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini, apakah mereka tidak guna wang untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat dengan membelanjakan lebih RM100juta?

"Saya tak tahu, tapi kalau betullah ada sampai RM4juta untuk memburukkan imej Pak Lah, saya ingat itu dah cukup baik untuk kita selamatkan RM320 bilion yang telah diserahkan kepada Brunei," katanya.

Kabinet perlu bertanggungjawab isu Brunei

PAYA - Kabinet Malaysia perlu bertanggungjawab ke atas isu penyerahan kawasan yang kaya dengan minyak kepada Brunei, tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Menurutnya, pihak kerajaan perlu memanggil satu sidang khas parlimen bagi memperjelaskan isu ini yang membabitkan soal perlanggaran perlembagaan serta menggadai kedaulatan negara.

Isu ini menjadi hangat ekoran pendedahan oleh Mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya yang mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion) akibat penyerahan itu.

Perjanjian terbabit telah ditandatangani oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada 16 Mac 2009.

"Isu ini bukannya isu Pak Lah, sebaliknya ianya adalah isu kabinet Malaysia yang telah meluluskan penyerahan ini. Sebahagian besar daripada anggota kabinet pada masa ini termasuk Perdana Menteri, Dato' Sei Najib juga berada dalam kabinet pada masa itu.

"Ini bukan semata-mata persoalan hasil minyak tetapi yang lebih besarnya ianya telah melanggar perlembagaan negara dan menggadai kedaulatan negara sehingga menyebabkan penyerahan sebahagian wilayah negara kepada negara asing. Mana dia sumpah Perdana Menteri untuk mempertahankan kedaulatan negara?," katanya.

Selain itu katanya lagi, penyerahan dua blok pengeluaran minyak itu akan menyebabkan berkurangnya hasil royalti minyak kepada kerajaan negeri Sarawak.

"Sarawak akan kehilangan kira-kira RM16 bilion hasil royalti minyak. Rakyat di Sarwak perlu diperjelaskan tentang perkara ini bermula dengan pilihanraya kecil di Sibu,"jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Markas PAS Paya di DUN Santan dekat sini 3 Mei lalu.

Tuesday, May 4, 2010

Ketua Muslimat Tokoh Guru Pasti 2010


Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar, Ustazah Amnah Abdul Rahman telah dianugerahkan Tokoh Guru Pasti Negeri Perlis Tahun 2010.

Anugerah disampaikan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Ustaz Mod Nasir Zakaria pada majis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis ke 35 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADI pada 2 Mei lalu.

Beliau adalah seorang tenaga pengajar di Pasti Darul Taqwa, Kampung Darat.