Wednesday, May 23, 2012

Himpunan Muslimat DUN Santan



Program Himpunan Muslimat DUN Santan diadakan di Markas PAS Paya pada 19 Mei lalu. Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Besar, Haji Mohd Anuar Tahir telah merasmikan program tersebut selain menyampaikan hadiah-hadiah acara yang diadakan.

Album Mesyuarat Agung Ke 18

Warna SPR: Wan Ahmad kena ‘demam kuning’

KANGAR: PAS melihat kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mahu menukarkan warna rasmi mereka iaitu kuning dalam pilihan raya umum akan datang untuk menjarakkan diri dengan Bersih yang menggunakan warna sama adalah sesuatu yang lucu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir (gambar) berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu jelas membuktikan beliau sudah dijangkiti ‘demam kuning’.

"Warna kuning adalah satu warna yang terang, malah menjadi warna simbol kepada kebebasan media di seluruh dunia. Di negara kita warna kuning juga dikaitkan dengan kebesaran dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

"Saya ingat Wan Ahmad ni kena periksa balik selepang kebesaran yang dia dapat, takut-takut berwarna kuning. Janganlah sampai nanti 'demam kuning' yang dijangkitinya tu menyebabkan dia benci pula pada pakaian kebesaran diraja," katanya.

Wan Ahmad dipetik portal berita Malaysiakini dilaporkan berkata dalam satu majlis, SPR akan memilih warna berkecuali kerana Bersih telah menghuru-harakan negara dengan warna kuning.

Kata Mohd Anuar lagi, kenyataan Wan Ahmad sebagai seorang pegawai tinggi awam itu jelas melihatkan suatu kelucuan kerana mengambil sikap kebudak-budakan.

"Kenyataan itu saya lihat lebih rendah dari seorang pelajar tadika. Dalam soal macam ni pun dia tak boleh buat pertimbangan maknanya dia tak layak duduk di kerusi tersebut kerana SPR diamanahkan menjaga dan mempertahankan amalan demokrasi di negara ini.

"Jangan kerana sebilangan rakyat yang membuat tuntutan melalui Bersih dan memilih warna kuning, maka semua kena tukar warna lain.

“Sepatutnya sebagai orang nombor 2 dalam SPR, Wan Ahmad kena lebih prihatin tuntutan Bersih bukannya soal remeh-temeh macam ni," ujarnya lagi.

BENDERA BULAN DI KAMPUNG CINA


 Atas permintaan penduduk setempat yang majoritinya adalah masyarakat Cina,  bendera PAS besar ini telah berjaya dinaikkan di Pekan Sayur, Kaki Bukit dalam DUN Beseri sekaligus melambangkan sokongan dan persepakatan yang jitu di kalangan parti Pakatan Rakyat. Bendera tersebut dinaikkan oleh Yang Dipertua PAS Padang Besar, Mohd Anuar Tahir dan Timbalannya, Wan Kharizal Wan Khazim.

Geran perkapita pelajar untuk program mewah?

KANGAR: PAS Perlis memandang berat kepada penggunaan geran perkapita murid-murid sekolah di negeri ini secara sewenang-wenangnya bagi menjayakan sebuah program mewah semata-mata untuk bermegah-megah dan mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir (gambar) , geran perkapita sebanyak RM400,000 bakal digunakan untuk Program Gema Cahaya sempena Perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2012 di Stadium Utama Negeri, Kangar 21 Mei.

Jelas beliau, program tersebut bakal membabitkan lebih 14,00 orang murid dari seluruh negeri ini yang akan mempersembahkan pukulan kakkung (yang diperbuat dari buluh) dan gendang yang diperbuat daripada tong sampah yang dibalut kain.

Katanya lagi, PAS Perlis berasa kesal dengan pengunaan dana yang diambil dari peruntukan kemahiran hidup, seni, sivik dan peruntukan asrama selain dari Kumpulan Sumber Wang Awam (Suwa).

"Kita juga amat prihatin dengan cara pengelolaan program yang melibatkan 14,200 orang murid dari segi keselamatan, kebajikan dan keselesaan mereka. Bagaimana pihak penganjur menampung keperluan ibadat, keperluan bilik air dan tandas kepada ribuan murid-murid ini masih menjadi tanda tanya?," katanya.

Mohd Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata PAS Perlis juga berasa amat tidak berpuashati dengan sebarang bentuk pembaziran dalam suasana negara berdepan dengan kegawatan ekonomi dan belanjawan defisit sejak lebih sedekad yang lalu.

Justeru kataya, PAS Perlis menuntut pihak Kementerian Pelajaran untuk bertanggungjawab ke atas segala perbelanjaan program bersifat pesta-pestaan ini.

"Sepatutnya pihak Kementerian atau MSSM mengeluarkan perbelanjaan atau mencari penajaan untuk tujuan tersebut.Kami tak nampakpun program berbentuk pesta-pestaan seperti ini mampu untuk meningkatkan prestasi pelajar.

"Jangan sekali-kali membebani pihak Jabatan dan sekolah-sekolah, apatahlagi menyalahgunakan dana geran perkapita murid-murid negeri ini. Selain itu kita juga menuntut penjelasan terperinci dari semua pihak terlibat agar murid-murid dan ibubapa mahupun guru-guru tidak dimangsakan," ujarnya.

Sebelum ini, PAS Perlis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 April lalu berkaitan kesangsian peruntukan yang bakal dibelanjakan untuk program terbabit.