Wednesday, May 23, 2012

Warna SPR: Wan Ahmad kena ‘demam kuning’

KANGAR: PAS melihat kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mahu menukarkan warna rasmi mereka iaitu kuning dalam pilihan raya umum akan datang untuk menjarakkan diri dengan Bersih yang menggunakan warna sama adalah sesuatu yang lucu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir (gambar) berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu jelas membuktikan beliau sudah dijangkiti ‘demam kuning’.

"Warna kuning adalah satu warna yang terang, malah menjadi warna simbol kepada kebebasan media di seluruh dunia. Di negara kita warna kuning juga dikaitkan dengan kebesaran dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

"Saya ingat Wan Ahmad ni kena periksa balik selepang kebesaran yang dia dapat, takut-takut berwarna kuning. Janganlah sampai nanti 'demam kuning' yang dijangkitinya tu menyebabkan dia benci pula pada pakaian kebesaran diraja," katanya.

Wan Ahmad dipetik portal berita Malaysiakini dilaporkan berkata dalam satu majlis, SPR akan memilih warna berkecuali kerana Bersih telah menghuru-harakan negara dengan warna kuning.

Kata Mohd Anuar lagi, kenyataan Wan Ahmad sebagai seorang pegawai tinggi awam itu jelas melihatkan suatu kelucuan kerana mengambil sikap kebudak-budakan.

"Kenyataan itu saya lihat lebih rendah dari seorang pelajar tadika. Dalam soal macam ni pun dia tak boleh buat pertimbangan maknanya dia tak layak duduk di kerusi tersebut kerana SPR diamanahkan menjaga dan mempertahankan amalan demokrasi di negara ini.

"Jangan kerana sebilangan rakyat yang membuat tuntutan melalui Bersih dan memilih warna kuning, maka semua kena tukar warna lain.

“Sepatutnya sebagai orang nombor 2 dalam SPR, Wan Ahmad kena lebih prihatin tuntutan Bersih bukannya soal remeh-temeh macam ni," ujarnya lagi.

0 comments: