Wednesday, May 23, 2012

Geran perkapita pelajar untuk program mewah?

KANGAR: PAS Perlis memandang berat kepada penggunaan geran perkapita murid-murid sekolah di negeri ini secara sewenang-wenangnya bagi menjayakan sebuah program mewah semata-mata untuk bermegah-megah dan mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir (gambar) , geran perkapita sebanyak RM400,000 bakal digunakan untuk Program Gema Cahaya sempena Perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2012 di Stadium Utama Negeri, Kangar 21 Mei.

Jelas beliau, program tersebut bakal membabitkan lebih 14,00 orang murid dari seluruh negeri ini yang akan mempersembahkan pukulan kakkung (yang diperbuat dari buluh) dan gendang yang diperbuat daripada tong sampah yang dibalut kain.

Katanya lagi, PAS Perlis berasa kesal dengan pengunaan dana yang diambil dari peruntukan kemahiran hidup, seni, sivik dan peruntukan asrama selain dari Kumpulan Sumber Wang Awam (Suwa).

"Kita juga amat prihatin dengan cara pengelolaan program yang melibatkan 14,200 orang murid dari segi keselamatan, kebajikan dan keselesaan mereka. Bagaimana pihak penganjur menampung keperluan ibadat, keperluan bilik air dan tandas kepada ribuan murid-murid ini masih menjadi tanda tanya?," katanya.

Mohd Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata PAS Perlis juga berasa amat tidak berpuashati dengan sebarang bentuk pembaziran dalam suasana negara berdepan dengan kegawatan ekonomi dan belanjawan defisit sejak lebih sedekad yang lalu.

Justeru kataya, PAS Perlis menuntut pihak Kementerian Pelajaran untuk bertanggungjawab ke atas segala perbelanjaan program bersifat pesta-pestaan ini.

"Sepatutnya pihak Kementerian atau MSSM mengeluarkan perbelanjaan atau mencari penajaan untuk tujuan tersebut.Kami tak nampakpun program berbentuk pesta-pestaan seperti ini mampu untuk meningkatkan prestasi pelajar.

"Jangan sekali-kali membebani pihak Jabatan dan sekolah-sekolah, apatahlagi menyalahgunakan dana geran perkapita murid-murid negeri ini. Selain itu kita juga menuntut penjelasan terperinci dari semua pihak terlibat agar murid-murid dan ibubapa mahupun guru-guru tidak dimangsakan," ujarnya.

Sebelum ini, PAS Perlis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 April lalu berkaitan kesangsian peruntukan yang bakal dibelanjakan untuk program terbabit.

0 comments: