Friday, January 20, 2012

PAS Perlis bantah pemasangan bendera BN

KANGAR - PAS Perlis membantah pemasangan bendera Barisan Nasional secara berleluasa di seluruh negeri Perlis sejak beberapa minggu lalu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir, pemasangan bendera tersebut yang dibuat di luar masa pilihanraya boleh menimbulkan keresahan di kalangan penduduk Perlis.

"Kita turut melahirkan rasa kesal dengan perbuatan memasang bendera berhampiran premis awam seperti sekolah dan sebagainya. Saya dapati terdapat bendera BN yang dipasang berhampiran pagar sekolah.

"Kita difahamkan bahawa pihak Umno/BN Perlis ada melakukan simulasi pilihanraya baru-baru ini, tetapi kenapa bendera-bendera tersebut tidak diturunkan lagi?

"Begitu juga kita faham bahawa ada pimpinan tertinggi BN yang akan datang ke Perlis, tetapi tidak wajar bendera tersebut dipasang terlalu hampir dengan premis awam," ujarnya.

Untuk itu menurut Anuar lagi, PAS Perlis akan mengemukakan bantahan kepada pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berkaitan isu ini.

"Kita jangkakan jika bendera PAS, KeADILan ata DAP yang dipasang dengan banyaknya sudah tentu ianya akan diturunkan, jadi kita minta kerjasama dan pertimbangan baik MPK berkaitan hal ini.

"Janganlah pemasangan bendera yang banyak macam ni sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat sedangkan parlimen belum dibubarkan lagi. Jangan sampai nanti wujud persaingan tidak sihat di kalangan parti-parti politik di negeri ini," katanya lagi.

0 comments: