Tuesday, November 9, 2010

PAS Perlis rayu sumbangan bantu mangsa banjir

Harakahdaily

KANGAR, 9 Nov: PAS Perlis merayu para dermawan untuk memberikan sumbangan kepada Tabung Mangsa Banjir PAS Perlis ekoran banjir besar, baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin, tabung itu dilancarkan bagi membolehkan sumbangan disalurkan kepada mangsa banjir memandangkan banyak lagi keperluan yang harus disalurkan kepada mereka pasca banjir.

"Sekarang ini kita memasuki fasa kedua selepas banjir dan banyak proses pemulihan yang perlu dijalani oleh mangsa yang terlibat. Untuk itu, PAS Perlis merayu para dermawan khususnya di luar Perlis untuk sama-sama memberikan sumbangan bagi membantu mangsa banjir.

"Semasa banjir tempoh hari kita telah salurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa di pusta-pusat pemindahan banjir, tapi masih banyak lagi keperluan untuk kita berikan kepada mereka selepas banjir pulih," jelasnya.

Menurutnya lagi, PAS Perlis akan menyelaraskan setiap sumbangan yang diterima untuk diagihkan ke seluruh kawasan yang terlibat dengan bencana banjir.

"Bagi memudahkan proses pengagihan bantuan, setiap sumbangan perlualh disalurkan kepada Perhubungan PAS Perlis," katanya.

Para dermawan yang ingin menyampaikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam: 09010010005759 atas nama Perhubungan PAS Perlis atau menghubungi talian 04-9761836 (pejabat).

0 comments: