Monday, June 21, 2010

Ceramah


Monday, June 14, 2010

Aktifkan Lajnah Pekerja PAS

Ucapan penggulungan YDP PAS Padang Besar, Hj Mohd Anuar Tahir di muktamar PAS ke 56. Beliau mengetuai Lajnah Pekerja & Peneroka Bandar PAS Pusat.. Petikan Lamanweb Rasmi Muktamar

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar, Haji Anuar Tahir hari ini menyeru kepada semua sidang muktamar supaya memberi perhatian terhadap lajnah pekerja di peringkat masing-masing.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya, kini biro atau lajnah itu semakin dipinggirkan dalam pertubuhan-pertubuhan politik samada Pakatan Rakyat atau BN sendiri.

"Hanya PAS yang masih memiliki Lajnah Pekerja namun di peringkat cawangan dan negeri lajnah ini kelihatan sudah tidak aktif lagi kecuali negeri Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Tambah beliau, pindaan akta pekerja yang bakal dilakukan akan menambah burukkan lagi nasib para pekerja apabila hak pekerja untuk mengadakan piket bakal dinafikan.

"Keadaan ini akan mengakibatkan para pekerja tidak dapat menyatakan bantahan atau pendirian bagi mempertahankan hak mereka pada masa hadapan. Malah Najib sendiri tidak menyatakan jaminannya untuk membela nasib para pekerja," ujarnya.

Katanya, perkara ini amat menyedihkan kerana pekerja merupakan jantung dan tunggak yang membina ekonomi negara.

"Apakah jasa mereka ini akan dilupakan begitu sahaja setelah mereka mencurah tenaga untuk negara," soalnya lagi.

Beliau menyeru kepada semua pihak di setiap peringkat samada cawangan, negeri atau kawasan supaya kembali mengaktifkan lajnah pekerja sekaligus memberi jaminan kepada masyarakat di luar sana bahawa PAS memberi perhatian yang serius terhadap nasib para pekerja.

Tegasnya, perkara ini jika diberi perhatian akan dapat memberi jaminan kemenangan PAS dalam pilihanraya umum akan datang kerana rakyat akan dapat melihat dan meyakini jaminan yang diberikan PAS terhadap masa depan mereka.

TYDP berucap wakili Perlis


Timbalan YDP PAS Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim telah dipilih berucap mewakili negeri Perlis di Muktamar PAS ke-56 di Putik, Kota Bharu baru-baru ini.

Berikut antara ucapannya yang diambil dari lamanweb rasmi Muktamar


PAS perlu melakukan perubahan. Perubahan tersebut itu ialah menangani isu terkini dengan cepat dan tangkas sekaligus melakukan lonjakan berganda atau ‘quantumly’.

Perwakilan Perlis, Wan Kharizal Wan Hazim berkata PAS perlu bertindak sebagai parti yang terkemuka dalam memberi penyelesaian umat. Sejajar dengan hadis yang menegaskan akhlak Islam lebih tinggi dari segala-galanya.

"Oleh itu, seluruh ahli PAS melalui pelbagai program pentarbiyyahan perlu terus menegakkan standad Islam yang tinggi," ujarnya.

Antara akhlak yang dituntut dalam jemaah ialah jangan pertikai keputusan pimpinan yang telah diputuskan dan sentiasa menjadikan pimpinan sebagai rujukan dalam segala hal penyelesaian masalah.

PAS merupakan parti yang bersifat terbuka dalam kritikan dalaman atau luaran. Namun katanya, sebarang teguran perlu dilakukan dengan penuh beradab tanpa membuka pekung sendiri.

Tarbiyyah PAS perlu aktif dan bukan pasif. Tarbiyah perlu berbentuk ‘ action oriented’ supaya ahli melaksanakan sejurus apa yang ahli-ahli terima dan faham dalam usrah atau program tarbiyah PAS . Pesanan ini perlu dilakukan berkali-kali supaya ahli tidak leka dan alpa.

Kebejatan dan kebobrokan dalam UMNO merupakan suatu perkara biasa dalam partinya. Namun sebaliknya dalam PAS, adab dan akhlak dalam jemaah merupakan perkara yang dituntut.

"Kita perlu melakukan sebagaimana Rasulullah SAW dikenali sebagai penyempurna akhlak. PAS perlu menjadi ikutan terbaik kepada orang lain dan pakatan rakyat dalam mentadbir negara sebagaimana Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dijadikan rujukan kepada Pakatan Rakyat.

Wan Kharizal Wan Hazim menerangkan bagaimana Perlis sebuah negeri yang kurang terlibat dalam tsunami politik. Beliau mengumpamakan negeri Perlis ini sebagai sebuah pulau yang dikelilingi negeri dan negara yang tidak diperintah oleh bukan BN iaitu Kedah dan Thailand. Namun begitu , PAS Perlis bertekad untuk menang dalam PRU 13 nanti.

Al-Fatihah : Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Nazna

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2