Monday, April 19, 2010

Taklimat bersama Pendaftar Pertubuhan



BESERI - Dalam usaha memantapkan lagi pengurusan organisasi khususnya di peringkat cawangan, PAS Padang Besar menganjurkan majlis taklimat khas serta dialog bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Program ini diadakan bagi memberi panduan dan kefahaman kepada penggerak cawangan PAS berkaitan maklumat tentang laporan tahunan yang perlu dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan.

Taklimat ini diadakan di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa di sini dan disertai oleh Ketua, Setiausaha dan Bendahari cawangan-cawangan PAS, Dewan Pemuda dan Muslimat dalam kawasan Padang Besar.

Pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Perlis, Encik Jamaluddin Mustafa hadir memberikan taklimat.

Friday, April 9, 2010

Pilihanraya Kecil Lagi.....

Dalam sibuk-sibuk orang memperkatakan siapa bakal menjadi calon dalam pilihanraya kecil di parlimen P94 Hulu Selangor, tup-tup satu lagi pilihanraya kecil akan berlaku di P212 Sibu bila angota parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Semoga tidak berlaku lagi pertandingan tiga penjuru di Sibu. Inilah masanya untuk kita turun sebagai satu parti Pakatan Rakyat.

Secara peribadi saya katakan, dengan komposisi kaum yang majoritinya kaum Cina (60 peratus), mungkin lebih sesuai jika DAP yang bertanding di situ.

DAP pun belum lagi teruji dalam mana-mana pilihanraya kecil lagi yang diadakan sebelum ini.

Rakyat juga masih menantikan bila pula akan diputuskan tarikh pilihanraya kecil Dun Kota Siputeh, Kedah???

  • Penulis adalah Ketua Penerangan DPP Padang Besar

Sidang DUN Perlis


Ikuti berita-berita Sidang DUN Perlis 6 & 7 April lalu DI SINI

Pakatan Rakyat semakin mendapat sambutan rakyat

KAKI BUKIT - Masyarakat Tionghua di Perlis terus memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat sekaligus memberikan petanda awal akan berlaku perubahan besar dalam lanskap politik di negeri ini.

Ini terbukti baru-baru ini, program yang dianjurkan di Pekan Sayur di sini mendapat sambutan hangat dari masyarakat setempat yang majoritinya dari kaum Tionghua.

Lebih 500 orang turun mendengar ceramah penerangan isu semasa oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang terdiri dari ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan yang diadakan di Panggung Balai Bomba Sukarela Pekan Sayur.

Majlis ceramah dimulakan dengan ucapan oleh wakil dari KeADIlan, Ko Chu Liang diikuti Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Kedua-dua penceramah tersebut berjaya menarik perhatian para hadirin yang memberikan tepukan gemuruh setiap kali mereka membangkitkan semangat.

Ustaz Hashim dalam ucapannya menyatakan bahawa perpaduan di kalangan parti di dalam Pakatan Rakyat adalah baik dan usaha Umno/BN untuk memecah-belahkannya telah gagal.

"Contoh terbaik, bila ada beberapa orang Ahli Parlimen KeADILan yang keluar parti dan mereka telah kekurangan kerusi berbanding DAP, ada pihak yang cuba membangkitkan isu ini, tapi Dato' Seri Anwar Ibrahim terus menjadi Ketua Pembangkang," jelasnya.

Ceramah yang turut dihadiri penyokong Pakatan Rakyat dari kaum Melayu dan Siam ini dihangatkan lagi oleh penceramah utama iaitu Ali Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Dalam ucapannya, Kit Siang melahirkan rasa sukacita beliau yang kerana dapat hadir semula ke Pekan Kaki Bukit selepas 30 tahun.

Beliau berjanji akan cuba membawa permasalahan yang melanda masyarakat setempat ke parlimen khususnya yang membabitkan soal hak milik tanah.

" Kita tak mahu lagi Umno/BN terus menggunakan isu hak milik tanah sebagai umpan semasa musim pilihanraya, ini adalah isu pokok membabitkan hak rakyat yang perlu diselesaikan.

"Dalam pilihanraya akan datang, Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mengambil-alih Putrajaya tapi juga akan memerintah Perlis. Dalam PRU akan datang, biarlah tsunami politik yang sepenuhnya melanda negara kita," katanya seraya disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Antara pimpinan PAkatan Rakyat lain yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab dan Mohd Anuar Tahir; Pengerusi DAP Kedah-Perlis, Thomas Su serta Adun Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Sunday, April 4, 2010

Sebuah lagi cawangan ditubuhkan di Kawasan Padang Besar

PADANG BESAR - PAS Kawasan Padang Besar menerima kelhairan sebuah lagi cawangan baru iaitu di Kampung Kolam, Padang Besar. Cawangan ini menjadi cawangan ke 60 di dala kawasan Padang Besar.

YDP Kawasan, Hj Mohd Anuar Tahir meluangkan masa bersama-sama 8 orang AJK Kawasan serta AJK MTD Titi Tinggi dalam majlis perjumpaan yang diadakan di rumah seorang ahli di Kg Kolam dekat sini 30 Mac lalu.

Sebelum ini, hanya sebuah cawangan PAS bergerak di sekitar kawasan Pekan Padang Besar iaitu Cawangan Padang Besar Utara. Semasa pilihanraya cawangan ini terpaksa bergerak menjada dua peti undi.

Dengan tertubuhnya cawngan baru di Kg Kolam ini, maka gerakerja PAS di kawasan ini akan lebih tersusun dan mantap.

Ahli baru sedang mengisi borang keahlian PAS

Timbalan YDP, Wan Kharizal melahirkan rasa bangga dengan kelhairan satu lagi cawangan PAS

Ucapan YDP penuh semangat

Kerja jemaah untuk cari keredaan Allah


BESERI - Seorang pemimpin gerakan Islam seperti PAS perlulah mempunyai kekuatan dan amanah di samping meletakkan matlamat bekerja untuk mencari reda Allah, demikian tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Ir Amiruddin Hamzah.

Menurut beliau, sebagai seorang pemimpin, tidak kira di peringkat manapun, seorang itu perlulah memiliki kemampuan untuk melaksanakan tugasa yang diberi di samping bertanggungjawab mentadbir dan mengurus mengikut lunas-lunas Islam.

"Untuk menjadi seorang pemimpin, kita kena hiasi diri dengan kekuatan dan amanah walau di peringkat manapun sebab kita akan bertanngungjawab depan Allah.

"Yang pentingnya kita bekerja untuk mencari reda Allah tidak kira di manapun kita berada. Dengan memberikan penekanan tentang mencari reda Allah, ini adalah satu resipi yang menyebabkan kita akan berperanan dan berfungsi, letaklah di manapun" katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Padang Besar kali ke 16 baru-baru ini.

Selain itu menurutnya, seorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran kerja, kemahiran mengurus selain kemahiran hubungan antara manusia.

"Sebagai pemimpin kita perlulah tahu apa yang kita nak buat. Pemimpin juga perlu ada kemahiran mengurus yang kadang-kadang kita ambil ringan. Nak jadi pemimpin kita juga kena berkebolehan dalam hubungan antara manusia, jangan kedekut dengan senyuman.

"Seorang pemimpin itu mesti mampu mempengaruhi orang, memotivasi, mendorong dan menggerakkan ahli untuk bekerja demi kemenangan Islam. Pemimpin kena jadikan setiap ahli itu merasakan diri mereka penting dengan memberikan tugasan kepada mereka," ujarnya.
"
Mesyuarat Agung PAS Kawasan Padang Besar kali ini diadakan di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini. Majlis perasmian turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Timbalan Pesuruhjaya, Hj Abdul Karim Md Rejab, wakil parti KeADILan dan DAP serta bekas wakil rakyat dari Satun, Thailand.

Dalam majlis yang sama, PAS Cawangan Guar Jentik menerima Anugerah Khas Cawangan kategori penambahan ahli baru diikuti cawangan Bukit Chabang dan Bukit Merah.

Sementara itu, PAS cawangan Kampung Masjid pula menerima anugerah khas cawangan kategori Laporan Pendaftar pertubuhan diikuti cawangan Batu 16 dan Pokok Sena Mata Ayer.