Friday, April 9, 2010

Pakatan Rakyat semakin mendapat sambutan rakyat

KAKI BUKIT - Masyarakat Tionghua di Perlis terus memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat sekaligus memberikan petanda awal akan berlaku perubahan besar dalam lanskap politik di negeri ini.

Ini terbukti baru-baru ini, program yang dianjurkan di Pekan Sayur di sini mendapat sambutan hangat dari masyarakat setempat yang majoritinya dari kaum Tionghua.

Lebih 500 orang turun mendengar ceramah penerangan isu semasa oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang terdiri dari ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan yang diadakan di Panggung Balai Bomba Sukarela Pekan Sayur.

Majlis ceramah dimulakan dengan ucapan oleh wakil dari KeADIlan, Ko Chu Liang diikuti Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Kedua-dua penceramah tersebut berjaya menarik perhatian para hadirin yang memberikan tepukan gemuruh setiap kali mereka membangkitkan semangat.

Ustaz Hashim dalam ucapannya menyatakan bahawa perpaduan di kalangan parti di dalam Pakatan Rakyat adalah baik dan usaha Umno/BN untuk memecah-belahkannya telah gagal.

"Contoh terbaik, bila ada beberapa orang Ahli Parlimen KeADILan yang keluar parti dan mereka telah kekurangan kerusi berbanding DAP, ada pihak yang cuba membangkitkan isu ini, tapi Dato' Seri Anwar Ibrahim terus menjadi Ketua Pembangkang," jelasnya.

Ceramah yang turut dihadiri penyokong Pakatan Rakyat dari kaum Melayu dan Siam ini dihangatkan lagi oleh penceramah utama iaitu Ali Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Dalam ucapannya, Kit Siang melahirkan rasa sukacita beliau yang kerana dapat hadir semula ke Pekan Kaki Bukit selepas 30 tahun.

Beliau berjanji akan cuba membawa permasalahan yang melanda masyarakat setempat ke parlimen khususnya yang membabitkan soal hak milik tanah.

" Kita tak mahu lagi Umno/BN terus menggunakan isu hak milik tanah sebagai umpan semasa musim pilihanraya, ini adalah isu pokok membabitkan hak rakyat yang perlu diselesaikan.

"Dalam pilihanraya akan datang, Pakatan Rakyat bukan sahaja akan mengambil-alih Putrajaya tapi juga akan memerintah Perlis. Dalam PRU akan datang, biarlah tsunami politik yang sepenuhnya melanda negara kita," katanya seraya disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Antara pimpinan PAkatan Rakyat lain yang turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Abdul Karim Md Rejab dan Mohd Anuar Tahir; Pengerusi DAP Kedah-Perlis, Thomas Su serta Adun Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

0 comments: