Thursday, August 26, 2010

Waspada Dengan Mainan Api Perkauman

Permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kita ini. Keadaan ini tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan. Kegagalan inilah juga yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa UMNO akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara kita ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok UMNO-putra. Ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara kita, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO-BN.

Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN dikala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini.

Oleh itu, saya menyeru agar semua lapisan rakyat dalam negara kita agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan UMNO-BN.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan UMNO-BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

0 comments: