Petikan Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 April: DAP akan menolak jemputan Umno untuk bersama dengan Barisan Nasional (BN) jika benar akan ada pelawaan seumpama itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
"Sehingga kini kita tidak tahu apa-apa lagi tentang hal ini sehinggalah kita diberitahu hari ini, namun kalau adapun kita akan kekal bersama Pakatan Rakyat," kata Guan Eng ketika ditemui sejurus selepas sidang medianya di Ibu Pejabat DAP hari ini.
Pagi tadi, Harakahdaily menyiarkan laporan kononnya Umno sedang berusaha untuk mendekati DAP untuk dipelawa menyertai BN.
Menurut sumber itu, usaha ini diperhebatkan lagi ekoran kemarahan Umno terhadap MCA yang mengajak masyarakat memboikot lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia.
Ia juga dibuat selepas Umno mendapati pengaruh DAP semakin kuat khasnya selepas pilihan raya Sarawak baru-baru ini. Ia juga satu tindakan Umno untuk mengawal MCA dan menghantar mesej kepada MCA bahawa Umno mempunyai alternatif yang lain.
Baca selanjutnya di sini
Tuesday, April 26, 2011
DAP akan tolak jemputan Umno sertai BN
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 6:23 PM 0 comments
Labels: Berita, Kenyataan Akhbar
Monday, April 18, 2011
UCAPTAMA YDP
PADA MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PADANG BESAR KE-17
(16 APRIL 2011 DI SEKOLAH RENDAH ISLAM AT-TAQWA)
“PENEGUHAN AKHLAK DA’IEYAH – MENGANGKAT SIASAH UMMAH”
Mukadimah:
Firman Allah SWT;
Maksudnya "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". (Surah Luqman : 17-19)
AKHLAK DAN PERJUANGAN
Para Tetamu, Perwakilan dan Pemerhati sekelian,
Sesungguhnya tiada ungkapan yang selayaknya diucapkan melainkan kesyukuran diatas keberadaan kita di Mesyuarat Agung PAS Kawasan pada kali ini. Seperti yang diperkatakan oleh para penganalis politik bahawa kita sedang berada di ambang Pilihanraya Umum Ke 13, maka Mesyuarat Agung ini boleh disifatkan mungkin sebagai mesyuarat terakhir bagi kita dalam menuju pilihanraya tersebut. Pilihanraya ke-13 amat penting setelah kita menyaksikan negara yang merdeka lebih 53 tahun berada dalam krisis besar: krisis politik, krisis ekonomi dan krisis sosial, kerosakan institusi-institusi negara telah membawa kepada berbagai bebanan rakyat, gejala rasuah yang semakin berleluasa dan sejumlah krisis yang tidak tersenaraikan.
Kekalahan UMNO-Barisan Nasional di 5 buah negeri dan di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-12 , 3 tahun yang lalu telah meninggalkan kesan yang luar biasa kepada parti pemerintah yang menganggap bahawa mereka akan kekal memerintah selamanya. Bagaikan sang harimau tua yang cedera, mereka bukan sekadar mengaum sekuat tenaga, mengugut dan menakutkan semua mangsa, bahkan dengan seluruh tenaga yang ada menerkam, membaham dan bersedia untuk melumpuhkan sesiapa sahaja. Permainan politik kotor yang menggejala di era PM Mahathir di sambung dan dikembangkan terus dengan pelbagai bentuk yang mengelirukan. Kebebasan media semakin meluntur, kebebasan rakyat terus disekat dengan memperalatkan berbagai undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan peruntukan kuasa-kuasa yang luas kepada pihak polis dan keselamatan. Semakin jauh kita meninggalkan saat berkumandangnya pekikan “merdeka” di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 terasa kita semakin tidak bebas, semakin tidak selesa dan rasanya sukar untuk memahami maksud “merdeka”.
Kerajaan UMNO-Barisan Nasional menggunakan seluruh media cetak dan elektronik untuk memuatkan propaganda dan kadang-kadang pelbagai fitnah yang menakutkan. Penggiat-penggiat politik berdepan dengan berbagai halangan, peraturan-peraturan dan karenah-karenah yang bermacam ragam. Semua ini dilakukan semata-mata untuk menghalang rakyat daripada mendapat maklumat alternatif. Insiden menghalang ceramah dan perhimpunan-perhimpunan aman dengan menggunakan kekerasan oleh pihak polis dan keselamatan berlaku secara lumrah dan berleluasa.
Status kehormatan yang diberikan oleh rakyat dan negara kepada pemimpin-pemimpin politik, ahli-ahli Yang Berhormat dari Dewan-dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara semacam tidak dihiraukan dan tidak bernilai apa-apa sewaktu proses memberhenti dan menyuraikan program-program atau perhimpunan-perhimpunan aman rakyat. Keadaan-keadaan sebegini sepatutnya tidak akan terjadi di mana-mana negara demokratik.
KEGAWATAN EKONOMI NEGARA
Saudara-saudari para perwakilan,
Kelesuan ekonomi negara telah menjadikan Malaysia kini ditinggal jauh oleh prestasi ekonomi negara lain seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, China dan sedang diancam pula oleh kelebihan negara- negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Kalau terus begini nampaknya ( jangan terperanjat )kalau satu saat nanti kita akan tercorot di belakang Kemboja, Laos dan Myanmar. Apakah kalian mahu membiarkan ini terjadi? Memetik dari Buku Jingga yang merupakan testemen politik Pakatan Rakyat , negara kini berdepan dengan kemelut ekonomi yang amat parah.
• 12 tahun berturut-turut mengalami belanjawan defisit
• 10 tahun gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi ( 4.7 % purata pertumbuhan ekonomi 2001-2005, sedangkan sasarannya 7.5% 4.2 % purata pertumbuhan ekonomi 2006-2010, sedangkan sasarannya 6%)
• KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah.
• 53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1999.
Sidang perwakilan sekalian,
Kita tidak punya pilihan yang lain melainkan menyongsong dan meredah arus agar kemungkaran poltitik yang berada di tengah-tengah kita pada masa ini diruntuhkan. Setiap kita yang telah berikrar dan berbaiat untuk menegakkan perjuangan “al amru bil makruf wanahyu anil mungkar” menerusi jemaah ini tidak boleh bertangguh dan bersantai lagi. Ini bukan masa untuk berbicara semata-mata, bukan sekadar mengkritik rakan seperjuangan tidak juga setakat menghambur nista kepada lawan tetapi ia menuntut pembuktian dan pengkotaan.
Apa guna pasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya,
Apa guna bermain kata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.
Situasi ini pasti meletakkan kita pada tahap kesiapsediaan yang terbaik kerana tanggungjawab dan cabaran besar yang sedang menanti untuk dilunaskan oleh seluruh amilin parti. Agenda utama dalam pilihanraya kali ini adalah untuk merealisasikan suara dan harapan rakyat kepada perubahan politik yang demokratik, adil dan saksama. Sudah pasti agenda besar ini menuntut kepada persediaan yang lebih menyeluruh sama ada dari sudut dalaman dan luaran organisasi. Maka usaha dakwah yang mendasari gerak kerja kita semua memerlukan kepada penggandaan kualiti, penggandaan komitmen dan penggandaan pengorbanan. Keyakinan dan pegangan kita ialah bahawa perubahan dari dalam akan menghasilkan perubahan persekitaran luar yang lebih total dan mutlak.
Berdasarkan paradigma yang sama maka dakwah “internal –reaching out” (dari dalam ke luar) menjadi landasan gerakan kita untuk mencorak persekitaran luar yang dihajati. Sekali lagi proses ini menuntut untuk kita menyemak secara sedar dan ikhlas tentang diri kita sebagai da’ie dalam sebuah gerakan Islam. Seperti yang difahami oleh kita, Akidah Islamiah merupakan asas penting kepada diri para da’ie.
Kerana dengan pegangan ini maka kita berkongsi satu matlamat dan mengintima’ diri dalam harakah islamiah demi mencari keredhaan Allah SWT. Keteguhan akidah inilah yang menghasilkan kualiti ibadah dan akhlak pada diri setiap individu. Sidang perwakilan dan pemerhati sekalian, Pada pengamatan kita tanpa menafikan kekurangan yang masih wujud dalam aspek akidah dan ibadah, kita sebenarnya masih dibelenggu dengan permasalahan akhlak sebagai seorang da’ie dan seterusnya membawa kepada isu akhlak dalam berjemaah. Islam adalah ad-deen atau satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Islam bukan hanya sekadar matlamat tetapi juga sebagai cara.
Akhlak itulah yang memastikan cara atau tindakan yang betul untuk kita mencapai kesempurnaan dalam beragama. Bukankah kerana soal akhlak da’ie menyebabkan mad’u (sasaran) tidak tertarik dengan perjuangan kita? Bukankah kerana masalah akhlak da’ie mewujudkan sikap tidak menghormati sesama kita ? Bukankah kerana akhlak da’ie yang tidak beres menyebabkan kita sanggup mengkhianati amanah jemaah?. Dan pelbagai situasi tidak kondusif dalam dan luar organisasi yang wujud ini adalah akibat satu permasalahan iaitu akhlak dan sikap para pendukung jemaah.
Timbul persoalan apakah agama tidak langsung mengungkapkan persoalan tentang akhlak dan sikap ? Apakah pula Al Quran dan hadis tidak pernah menyebutkan hal akhlak dan sikap yang baik kepada pengikutnya? . Ternyata bahawa segala sumber-sumber itu bukan hanya mencatat urusan akhlak dan sikap malahan telah memperkenalkan set pemikiran yang lebih terperinci dan jelas tentang hal berkenaan. Malahan ada dikalangan pemikir Islam yang meletakkan bahawa akhlak dan sikap ini adalah mukadimah kepada agama dan perjuangan. Jelas bahawa isu akhlak dan sikap adalah merupakan isu agama.
Dan sekiranya perkara ini kita fahami dan dihayati dengan baik maka tidak mungkin kita akan melihat Cawangan-cawangan PAS yang menjadi lemah tanpa diuruskan oleh ahli-ahlinya. Begitu juga, mustahil untuk kita mendengar pertelagahan dikalangan ahli yang membawa mudarat kepada parti? Atau tidak terjangka oleh kita untuk terheret dengan politik murahan, politik puak dan politik dendam dalam parti sehingga tergamak untuk melakukan fitnah, menyebar surat layang dan sebagainya.
Kita tidak punyai jalan pintas untuk menghasilkan perubahan yang besar dalam masyarakat sekiranya kita gagal menguruskan permasalahan dalaman tersebut. Pilihan yang ada pada kita ialah marilah kita kembali kepada asas perjuangan dan meletakkan kepentingan jemaah sebagai keutamaan . Singkirkan kepentingan peribadi , buang perasaan bangga diri dan hapuskan sikap negatif dalam diri serta gantikan dengan sikap yang mementingkan jemaah, perkukuhkan ukhuwah dikalangan anggota dan bersikap positif dalam melaksanakan tugas.
TARBIYAH RUHIYYAH
Para perwakilan sekalian,
Ketika menekuni kitab terjemahan Syeikh Sa’id Hawwa , Pendidikan Spiritual-Rujukan Lengkap Tarbiyah Ruhiyah, Menggapai Cinta Illahi-Terjemahan dari judul asal Tarbiyatuna al-Ruhiyyah, saya terkesan dengan kata pengantar Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang saya perturunkan seperti berikut:-
Kekuatan rohani-imani tidak hanya untuk melawan syaitan, tetapi juga mengekang unsur jahat dalaman yang disebut dengan Qur’ani al-nafs al-ammarah. Nafsu pendorong kejahatan itu sememangnya ada dalam diri setiap manusia. Kerana itu tidak semua kejahatan datangnya dari syaitan, tetapi mungkin ada sebahagiannya yang meledak dari nafsu sendiri. Syaitan hanya memulakan rangsangan dari luar, tetapi apabila al-nafs al-ammarah menyambutnya dari dalam, maka untuk seterusnya nafsu ( ammarah ) manusia sendirilah yang menjadi pelakunya. Gejolak nafsu jenis inilah yang perlu dikawal dan ditertibkan menerusi pendidikan rohaniah yang disebut mujahadah, perjuangan spiritual menundukkan al-nafs al-ammarah itu. Pendidikan rohaniah yang berteraskan amal mujahadah ini adalah proses pendakian yang berterusan menuju puncak, tahap demi tahap. Setelah bebas dari cengkapan al-nafs al-ammarah, proses mujahadah dilanjutkan untuk mencapai tahap al-nafs al-lawwamah, tahap tumbuhnya kesedaran tentang kesalahan dan dosa, lalu mencela dan mengkritik diri. Penerusan proses mujahadah selanjutnya adalah menuju puncak al-nafs al-mutma’innah, jiwa yang damai setelah tunduk, serasi dan harmonis dengan segala nilai dan hukum Ilahi. Al-Nafs al- Mutma’innah sebenarnya tidak lain adalah al-nafs al-mu’minah, jiwa mukmin yang damai dengan mengingat Allah ( al-Ra’d:28 ). Mengingati Allah sebagai Tuhan yang Maha Pengurnia akan menimbulkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan janji Ilahi untuk melimpahkan ganjaran-Nya dan menambah anugerah-Nya kepada yang bersyukur ( Ibrahim: 7 ). Mengingati Allah sebagai Tuhan yang mentakdirkan untung nasib manusia akan menimbulkan sikap pasrah, ridha dan sabar. Mukmin yang sabar ( dengan takdir dan ujian Tuhan) adalah mukmin yang bahagia kerana mendapat kasih-sayang Tuhan (Ali ‘imran; 146). Ia juga adalah mukmin yang damai dan tenang jiwanya kerana mendapat pelayanan ma’iyyatu ‘Llah, iaitu perkenan Allah mendampinginya ( al- Baqarah:153).
SENARIO POLITIK ANTARABANGSA
Sidang perwakilan sekalian,
Senario politik antarabangsa diwarnai oleh kebangkitan massa di Tunisia, Mesir, Libya,Yemen dan kini merebak ke Syria memberikan impak besar kepada rantau petroleum itu. Kejatuhan dua rejim “authoritarian” dua diktator HOsny Mubarak dan Zainal Abidin bin Ali sedang mencetuskan kebangkitan baru diseluruh dunia Arab, para penganalisis yakin masa untuk perubahan di 22 buah Negara Arab sedang mengambil tempat. Diktator-diktator dan golongan monarki yang sebahagiannya menjadi sekutu barat akan tumbang satu- persatu kerana rakyat yang terlalu lama dikongkong, ditakut-takutkan dan diperbodoh mulai mendapat maklumat dan tidak lagi gementar berdepan dengan polis dan tentera. Di zaman siber, zaman IT dan zaman digital ini, dunia telah kehilangan sempadan dan manusia berhubung tanpa dibatasi oleh jarak dan masa. Revolusi facebook dan twitter telah berjaya menggerakkan ratusan ribu malah jutaan manusia ke jalan raya untuk menuntut pembebasan dari belenggu penindasan rejim-rejim ganas yang memperkayakan diri, keluarga dan kroni walhal rakyat menderita, melarat dan papa kedana.
Anak muda Muhammad Bouazizi, 26 tahun penjual buah-buahan dan sayur-sayuran dengan kereta sorong yang dibeli dengan pinjaman sebanyak 200 Dolar memprotes penghinaan dan kezaliman pegawai-pegawai penguatkuasa yang korup ( dikatakan dia telah ditampar dan diludahi dan kereta sorong dan jualannya dirampas kerana gagal memberikan rasuah kepada pegawai penguatkuasa) bila semua rayuannya tidak diendahkan beliau membakar diri di hadapan Pejabat Gabenor pada 17 Disember 2010. Peristiwa ini telah mencetuskan kemarahan rakyat yang bukan sahaja menuntut bela di atas kematian mangsa penindasan rejim yang tidak berperikemanusiaan di Tunisia. Bila ratusan ribu rakyat bangkit, mereka menuntut Zainal Abidin Ben Ali dan isterinya Layla Tiblisi dan keluarganya untuk yah diri dari bumi Tunisia. Ben Ali dan keluarga akhirnya lari dan rakyat berpesta menuntut pembaharuan. Kejatuhan pemerintahan Autoriter di Tunis telah menyemarakkan kebangkitan di Mesir, rakyat bangkit berkumpul di Medan Tahrir, Kaherah, Iskandariah dan seluruh Negara Mesir.
Pencetus kemarahan rakyat di Mesir ialah pembunuhan Khaled Muhammad Saeed,28 tahun , anak muda yang dibelasah dihadapan orang ramai oleh polis kerana berjaya merakam gambar atau video polis yang sedang menjual dadah. Satu facebook yang bernama “ we are all Khaled Saeed “ dicipta Wael Ghonim, 30 tahun jurutera komputer dan aktivis internet. Peristiwa-peristiwa ini hanyalah pencetus bukan faktor sebenar yang membawa kepada revolusi , apa yang sebenar berlaku adalah pemendaman rasa oleh rakyat sejak berpuluh-puluh tahun dikongkong, dizalimi, dianiyai, diperbodoh-bodohkan oleh pemerintah. Kebangkitan ini InsyaAllah akan memberikan kekuatan baru kepada dunia Islam dan gema “Allahuakbar !” pasti berkumandang di seluruh pelusuk dunia. Dunia Islam yang demokratik akan dapat menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan dunia sejagat.
SENARIO POLITIK NASIONAL
Saudara- saudari sidang perwakilan,
Keputusan pilihanraya 2008 telah menghasilkan pembentukan sebuah gagasan politik baru yang lebih mantap daripada apa yang dipanggil Barisan Alternatif sebelumnya. Gagasan ini menggelar dirinya sebagai Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama. Kemampuan dan prestasi unik di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan tadbir kelola baik, bebas rasuah, ketelusan dan keadilan serta kreativiti dalam mencipta pendekatan-pendekatan baru telah membuka mata rakyat. Sementara Barisan Nasional begitu defensif dan cuba mengikut rentak kerajaan-kerajaan PR. Kritikan-kritikan kepada pelaksanaan dasar-dasar pentadbiran negeri-negeri PR lebih bersifat cemburu, iri hati dan marah-marah.
Buku Jingga yang merupakan testemen politik Pakatan Rakyat adalah sebuah dokumen politik yang amat meyakinkan. Ianya amat digeruni oleh Barisan Nasional, mereka mulai meniru beberapa cadangan-cadangan kecil dari Buku Jingga tersebut namun mereka tidak akan dapat melakukan perubahan besar untuk menyelamatkan negara kerana BN tidak akan mampu mengemukakan sebuah gagasan semulia ini. BN tidak akan dapat merealisasikan 4 kerangka asas kepada dasar bersama Pakatan Rakyat:-
i) Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat.
ii) Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mapan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.
iii) Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh;dan
iv) Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Belum ada dalam sejarah mana-mana negara di dunia yang menggunakan pelbagai bentuk fitnah bagi membunuh kerjaya politik tokoh-tokoh pembangkang seperti yang sedang berlaku di negara ini sekarang. Tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan salahlaku seksual kepada pemimpin pembangkang dilakukan sewenang-wenangnya dan kini rakaman video seks lucah dihidang kepada rakyat tanpa menghiraukan kesan dan imej ke atas Negara Umat Islam seperti Malaysia ini.
Sejumlah kalimat-kalimat dan istilah-istilah seksual sekarang bermain dimulut warga negara tanpa mengira batas usia dan ini semua amat melukakan dan amat memalukan . Syariat Islam tidak dipedulikan malah diletakkan di tempat paling rendah bila berdepan dengan isu “Qazzaf” pada masa ini. Amalan “politik longkang” sepertimana diungkap oleh Pengeran Politik dari Gua Musang telah menjadikan iklim politik negara ini loya dan memualkan. Membiarkan keadaan ini berterusan akan terus menjerumus seluruh rakyat jelata ke satu tahap yang amat rendah. Akan hilanglah taraf kehormatan dan keinsanan dan Ayat Allah “ laqad karramna bani Adam” tidak punya tempat di negara ini lagi. Pemerintah UMNO-BN dikatakan sedang bersedia untuk menaikkan gaji 1.2 juta penjawat awam( 2.3% penduduk Malaysia- satu jumlah yang sangat besar berbanding dengan negara- negara lain- sebagai gula-gula untuk mempastikan undi dari golongan penjawat awam memihak kepada mereka. Hari ini, rakyat negeri Sarawak akan mengundi dalam pilihan raya negeri terbaru. Keputusan PRN Sarawak akan menentukan sama ada PRU ke -13 akan berlangsung lebih awal atau sebaliknya. Dari maklumat-maklumat yang disampaikan, penerimaan rakyat Sarawak kepada calon-calon PR yang bertanding adalah amat memberangsangkan.
Namun, SPR – Suruhanjaya Pilihan Raya yang paling tidak telus dan tidak adil dalam dunia dibimbangi akan melakukan perkara-perkara ajaib untuk mempertahankan BN di bumi Kenyalang itu. Apapun dan bagaimanapun kita berdoa agar suatu kejutan akan berlaku di sana. Apakah kita akan ke Petrajaya terlebih dahulu sebelum ke Putrajaya. Wallahuallam. Sidang Perwakilan, Bola kini dikaki kita,di padang kita terpulang kepada kita untuk mengatur strategi dalam menembusi pertahanan lawan dan seterusnya membolosi gawang lawan. BN belum betul-betul pulih daripada demam kekalahan PRU ke-12 dahulu, mereka hanya mampu mengelirukan rakyat menerusi media dan jentera kerajaan yang sepenuhnya dalam genggaman mereka. Sekiranya kita bekerja keras dengan strategi yang tersusun, InsyaAllah kejutan yang bakal kita lakukan boleh menjadi pukulan terakhir buat rejim Barisan Nasional yang telah lebih 53 tahun menguasai negara ini. Politik perkauman sempit tidak akan boleh bertahan lama, ahli-ahli politik sombong dan bergaya akhirnya akan ditolak jua. Rakyat sekarang berdepan dengan 2 pilihan iaitu kekal di takuk lama bersama Barisan Nasional atau Malaysia baru bersama Pakatan Rakyat. Kini telah wujud secara tidak langsung sistem 2 parti yang mudah menjadi pilhan rakyat PR atau BN dan BN atau PR.
POLITIK PERLIS
Sidang perwakilan sekalian,
Rakyat di Negeri Perlis, sepatutnya telah bersama-sama dengan rakyat Negeri Kedah membuat perubahan dalam PRU yang ke-12. Namun, lanskap dan topografi politik negeri terutara ini tidak mudah untuk melakukan satu perubahan tetapi InsyaAllah kita berjanji di hari ini kemenangan rakyat akan kita rebut dalam PRU yang ke-13 nanti – dengan lain kata menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempersiapkan minda dan kerohanian para pengundi untuk memilih PAS, PKR, DAP sebagai satu pasukan baru di negeri ini. Pentadbiran BN yang selama ini gagal menjadikan negeri yang secomel kita terserlah anggun sebagai sebuah negeri kebanggaan negara.
Perpecahan politik yang amat ketara dalam kalangan lawan kita yang disebut oleh seorang kolumnis terkenal di sebuah akhbar nasional sebagai “ harimau-harimau tua di bukit kecil ” sepatutnya sudah membosankan rakyat negeri ini. Persengketaan mereka bukan untuk membela petani, pesawah, penoreh, nelayan dan rakyat semua tetapi adalah perebutan kuasa untuk diri dan suku- sakat mereka. Kepada warga negeri Indera Kayangan ini, saya berseru dan merayu kepada kalian “ cukuplah dan cukuplah” ...... “ enough is enough ” tinggalkan era lama yang melapuk, mari kita kibar panji-panji perubahan dan kemenangan. Kita jadikan negeri ini, negeri berwajah baru berwadah adil sejahtera lagi berkebajikan untuk semua.
Sidang perwakilan,
Untuk merealisasikan semua yang dibicarakan agar tidak tinggal retorik semata, maka “wajiblah hukumnya” untuk kita mempertingkatkan pengurusan dan mengaktifkan cawangan-cawangan parti jangan terus-terusan tidak bermesyuarat dan berkomunikasi secara tuntas dengan MTD dan kawasan. Kalau ada yang terlewat menjalankan mesyuarat agung segeralah berbuat begitu, agar tanzim harakah kita berada pada paksi-paksinya dan tidak akan goyah. “Wajib juga hukumnya” dalam saat- saat yang kritikal ini untuk kita memperbanyakkan ahli-ahli terutama dari golongan generasi baru.
Jangan ambil mudah bahawa orang muda sentiasa menyokong kita berilah ruang secukupnya untuk mereka berperanan sebagai pelapis masa depan. Suburkan budaya infak dan wakaf dalam kalangan ahli kita.Tamadun Islam turut terbina di atas budaya infak dan wakaf, maka dengan hal yang sama kita tegakkan wadah pergerakan kita ini. Adalah tidak pantas untuk para pimpinan cawangan mengungkit-ungkit bahawa mereka terlalu banyak membuat bermacam-macam bayaran kepada pihak kawasan.
Oleh itu, marilah kita selesaikan sebuah hutang pergerakan yang paling utama iaitu menyempurnakan Bangunan PAS Padang Besar yang cuma berlantai, bertiang dan berbumbung sahaja. Kalau tidak kerana cuaca, kami telah memutuskan agar Mesyuarat Agung kali ini dijalankan di bangunan yang belum siap itu untuk menginsafkan diri kita bahawa masih ada satu hutang besar yang kita perlu lunasi. Infakkanlah apa yang ada agar sebuah lagi bangunan milik kita akan berdiri tersergam di kawasan ini.
TANZIM HARAKI & BUDAYA INFAK
Saudara-saudaraku sekalian,
Cawangan- cawangan itu adalah akar umbi, kawasan hanya sekadar satu wadah yang dihasilkan oleh gabungan cawangan- cawangan itu sendiri. Pimpinan kawasan dipilih oleh cawangan-cawangan bagi menyelaras kegiatan parti di peringkat yang lebih besar. Kawasan tidak akan mampu kalau tidak disokong oleh kekuatan cawangan-cawangan yang menjadi ranting subur dari sebuah pohon yang rendang.
Saya juga menyeru agar dipergandakan operasi UPU kerana UPU adalah cabang terpenting yang menyelaraskan semua aktiviti-aktiviti pergerakan politik parti diperingkat DUN masing-masing. MTD merupakan markas operasi yang menggerakkan jentera pasukan. Marilah kita berlumba-lumba memperkukuh dan memantapkan kekuatan sumber daya manusia, sumber kewangan, dan bekalan menghadapi pilihan raya. Harapan saya hanya kepada tuan- tuan dan puan-puan di cawangan- cawangan dan di MTD-MTD, jika tidak, kaki ini tidak kuat berdiri dan tapak pijakannya terasa goyah sekali, takut-takut nanti saya tidak akan mampu melangkah lagi.
Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali,
Harap-harap kepada tuan.
Tidak tuan siapa lagi.
KHATIMAH
Sidang perwakilan budiman,
Marilah kita perkuatkan jentera Pakatan Rakyat dengan mengadakan hubungan dan kerjasama erat dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik diperingkat Parlimen Padang Besar. Pilihan kita untuk mengadakan tahalluf siyasi sebagai usaha mencapai kemenangan dan berkongsi kuasa sedang berlaku di mana-mana, malah teman-teman kita di Mesir, Tunisia dan negara-negara Arab lain mahupun dunia Indo-Pakistan juga telah mulai melaksanakan polisi tahalluf siyasi dan “power sharing” .
Gerakan Islam tidak akan mengulangi kesilapan masa lalu, berjuang bersendirian tanpa sebarang pakatan yang mengundang pembantaian ke atas kita oleh berbagai gerombolan. Namun, kita sama sekali tidak akan melupai pengkalan di mana kita berpijak; masyarakat dan negeri Melayu Islam dilingkaran barat semenanjung ini. Nasib umat Melayu dan kedaulatan Islam tetap menjadi perhatian dan perjuangan memperbaiki nasib kaum peribumi tetap dihayati. Bersama dengan Pakatan Rakyat, kita akan mempertahankan perkara 152 dan 153, kedudukan istimewa Orang Melayu, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Islam Sebagai Agama Persekutuan. Saya menyeru agar di setiap peringkat parti mempergandakan interaksi sosial dengan mempelbagaikan program-program untuk anak-anak, para remaja dan belia, kaum wanita dan semua golongan yang perlu didekati.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ahli-ahli dan penyokong parti, ketua-ketua dan saf kepimpinan seluruh cawangan, UPU, pengarah dan ahli-ahli jawatankuasa, MTD, seluruh anggota kepimpinan kawasan, dewan-dewan dan semua lajnah PAS Padang Besar yang telah bertungkus-lumus bekerja keras, berkhidmat semata-mata kerana Allah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di negara tercinta ini. Walaupun apa bakal terjadi, sebesar manapun halangan yang akan dihadapi, sehebat manapun cabaran dan ujian yang menanti, kita tidak punya pilihan melainkan untuk melawan dan menyanggah segala kemungkaran. Kita sudah membuat keputusan untuk menyertai pasukan ini dan menyatu dalam satu pakatan dan gerakan politik terbesar, maka jangan menoleh ke belakang lagi dan sekali kita melangkah pantang undur kembali. Ingat pesan orang tua jika takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai. Dan biarlah saya akhiri ucapan ini dengan memetik sedutan dari puisi Sasterawan Negara, Keris Mas berjudul Pelita Cinta:
"Namun pelita tetap menyala
berapi-api merah menyala
menjadi suluh hasrat bangsa
tak padam sepanjang masa
walau jasad hidup merana
walau dihimpit, ditindas ganas
pelita cinta dan hidup jua
menyinar jiwa hasrat bebas”
Sekian, terima kasih atas pemerhatian.
WalLahi waliyu Taufik wal Hidayah wassalamu a’laikum warahmatulLahi wa Barakatuh. Allahu Akbar!
PADANG BESAR 12 JAMADILAWAL 1432 HIJRIAH
Bersamaan 16 April 2011 Miladyah.
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 11:04 PM 0 comments
Labels: Ucaptama YDP
Anuar Tahir kekal YDP Padang Besar
BESERI - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Haji Mohd Anuar Tahir kekal menerajui PAS Kawasan Padang Besar selaku Yang Dipertua bagi sesi 2011-2013.
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 5:35 PM 0 comments
Labels: Berita
Foto Mesyuarat Agung PAS Kawasan kali ke 17
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 5:18 PM 0 comments
Labels: Mesyuarat Agung
Friday, April 15, 2011
Saturday, April 9, 2011
Mesyuarat Agung Pemuda Kawasan
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 1:43 AM 0 comments
Labels: Berita
Ketua baru bagi Pemuda, Muslimat kekal..
Manakala Dewan Muslimat yang juga bermesyuarat Agung kali ke 15 pada 26 Mac di Santan menyaksikan Ketua sesi lalu, Amnah Abdul Rahman kekal dan akan digandingkan dengan Nor Hayati Ab Razak sebagai Timbalan dan Jamilah Jusoh sebagai Naib Ketua.
Posted by PAS Kawasan Padang Besar at 12:56 AM 0 comments
Labels: Berita