Monday, January 3, 2011

YDP: Muslimat PAS terbaik di dunia

SANTAN - Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Mohd Anuar Tahir menyifatkan Dewan Muslimat PAS sebagai sebuah sayap wanita gerakan Islam yang terbaik di dunia.

Katanya, beliau telah bertemu dan membuat hubungan dengan pelbagai gerakan Islam dan parti Islam di merata pelusuk dunia, namu baginya Dewan Muslimat PAS adalah yang terulung dari segi komitmen, iltizam dan gerak kerja jemaah.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis berkata demikian ketika berucap di majlis Minum Petang anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar di Markas Tarbiah PAS Kawasan di sini 31 Disember lalu.

"Alhamdulillah, saya dikurniakan Allah peluang untuk merantau ke banyak negara luar dan bertemu dengan pelbagai gerakan Islam atau parti politik Islam, namun dari pemerhatian saya tiada yang dapat menandingi Dewan Muslimat PAS.

"Parti kita, PAS meletakkan harapan yang tinggi kepada kerja-kerja jemaah yang dilakukan oleh ketiga-tiga sayap parti termasuk Dewan Muslimat. Di negara lain, peranan Muslimat gerakan Islam mungkin terbatas oleh kekangan budaya dan sebagainya, tetapi di sini Muslimat memainkan peranan yang begitu penting," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana Muslimat PAS turut diberikan ruang yang luas untuk sama-sama berganding bahu di dalam perjuangan parti yang sekaligus memberikan imej yang baik kepada PAS di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Peranan Muslimat PAS kini bukan sekadar perayu undi lagi, tetapi lebih luas dan terbuka. Kita sudah mempunyai Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Adun serta Exco Kerajaan Negeri.

"Zaman ini adalah suatu era di mana wanita bergerak maju ke hadapan. Malah dengan komitmen dan iltizam yang ditunjukkan, Muslimat PAS dilihat lebih hebat dari Wanita Umno," ujarnya lagi.

0 comments: