Sunday, April 4, 2010

Kerja jemaah untuk cari keredaan Allah


BESERI - Seorang pemimpin gerakan Islam seperti PAS perlulah mempunyai kekuatan dan amanah di samping meletakkan matlamat bekerja untuk mencari reda Allah, demikian tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Ir Amiruddin Hamzah.

Menurut beliau, sebagai seorang pemimpin, tidak kira di peringkat manapun, seorang itu perlulah memiliki kemampuan untuk melaksanakan tugasa yang diberi di samping bertanggungjawab mentadbir dan mengurus mengikut lunas-lunas Islam.

"Untuk menjadi seorang pemimpin, kita kena hiasi diri dengan kekuatan dan amanah walau di peringkat manapun sebab kita akan bertanngungjawab depan Allah.

"Yang pentingnya kita bekerja untuk mencari reda Allah tidak kira di manapun kita berada. Dengan memberikan penekanan tentang mencari reda Allah, ini adalah satu resipi yang menyebabkan kita akan berperanan dan berfungsi, letaklah di manapun" katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Padang Besar kali ke 16 baru-baru ini.

Selain itu menurutnya, seorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran kerja, kemahiran mengurus selain kemahiran hubungan antara manusia.

"Sebagai pemimpin kita perlulah tahu apa yang kita nak buat. Pemimpin juga perlu ada kemahiran mengurus yang kadang-kadang kita ambil ringan. Nak jadi pemimpin kita juga kena berkebolehan dalam hubungan antara manusia, jangan kedekut dengan senyuman.

"Seorang pemimpin itu mesti mampu mempengaruhi orang, memotivasi, mendorong dan menggerakkan ahli untuk bekerja demi kemenangan Islam. Pemimpin kena jadikan setiap ahli itu merasakan diri mereka penting dengan memberikan tugasan kepada mereka," ujarnya.
"
Mesyuarat Agung PAS Kawasan Padang Besar kali ini diadakan di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini. Majlis perasmian turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Timbalan Pesuruhjaya, Hj Abdul Karim Md Rejab, wakil parti KeADILan dan DAP serta bekas wakil rakyat dari Satun, Thailand.

Dalam majlis yang sama, PAS Cawangan Guar Jentik menerima Anugerah Khas Cawangan kategori penambahan ahli baru diikuti cawangan Bukit Chabang dan Bukit Merah.

Sementara itu, PAS cawangan Kampung Masjid pula menerima anugerah khas cawangan kategori Laporan Pendaftar pertubuhan diikuti cawangan Batu 16 dan Pokok Sena Mata Ayer.

0 comments: