Thursday, January 21, 2010

PAS Padang Besar prihatin masalah keselamatan jalanraya di Pekan Padang Besar

PADANG BESAR - Tiang besar pada persimpangan di bawah jejambat menuju ke Pekan Padang Besar mengundang bahaya kepada pengguna jalanraya mengundang keprihatinan pelbagai pihak khususnya penduduk sekitar pekan sempadan itu.

Beberapa kejadian kemalangan telah berlaku kerana tiang tersebut mengganggu pandangan pemandu yang tidak dapat melihat kehadiran kenderaan yang datang dari sebelah kiri yang sebahagiannya pula dipandu dengan laju.

Lebih menyedihkan, projek menaiktaraf jalanraya di situ yang mulakan lebih lima tahun yang lalu kini terbengkalai.

Penduduk setempat juga melahirkan rasa hairan kerana tiang lampu isyarat sudah hampir dua tahun dipacakkan di beberapa tempat tetapi masih belum berfungsi.

Kebimbangan tentang tahap keselamatan di kawasan terbabit turut disuarakan oleh pimpinan PAS dan DAP setempat.

Dalam pada itu, PAS Padang Besar turut memandang serius tahap keselamatan jalanraya di kawasan terbabit.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan, Mohd Anuar Tahir, isu keselamatan pengguna jalanraya seperti ini perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Beliau turut menyatakan kekesalan beliau dengan sikap pemimpin kerajaan yang mengambil sikap lepas tangan dalam menangani isu ini.

"Walaupun projek ini dikendalikan oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri tidak boleh lepas tangan kerana ianya membabitkan keselamatan dan nyawa manusia.

"Saya mendapat maklumat bahawa wakil rakyat di sini yang juga merupakan exco kerajaan negeri hanya bersikap lepas tangan apabila dibangkitkan isu ini dengan menyatakan ini adalah projek kerajaan pusat. Kita amat kesal dengan kenyataan seperti ini kerana banyak lagi usaha yang boleh dibuat bagi menjamin keselamatan orang ramai," ujarnya.

Justeru beliau meminta agar tindakan segera dapat dilaksanakan demi menjamin keselamatan orang-ramai.

"Seperti yang minta oleh penduduk di sini, kita juga meminta agar disegerakan penggunaan lampu isyarat di beberapa simpang di pekan ini. Selain itu pihak polis trafik juga perlu berperanan menjaga simpang yang berisiko tinggi.

"Kami juga akan menyediakan satu memorandum untuk diserahkan kepada pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini,"katanya.

0 comments: